Monday 23 January 2017

MANUSIA RAMAI DALAM NERAKA?


Tahu tak, ada RAMAI MANUSIA DI DALAM NERAKA JAHANNAM..?
Kenapa ada manusia dalam Syurga dan kenapa ada dalam Neraka? Kenapa tidak semua sahaja yang masuk Syurga? Biarkan sahaja Neraka itu kosong, tiada penghuni begitu sahaja.
Kan..? Kenapa tidak begini aja?
---
Ya benar, dalam Surah Al-A'raf, ayat 179 jelas menyatakan tentang Allah telah menciptakan untuk Neraka Jahannam sebilangan BESAR dari jin dan MANUSIA.

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ 
Ayat ini secara jelasnya menyatakan majoriti manusia berada dalam Neraka, bukannya sebahagian, ataupun separuh tetapi Allah menggunakan perkataan 'Kathir' yang bermaksud bilangan besar.
Di pertengahan ayat ada berbicara mengenai ciri-ciri mereka. Mereka ada hati, mata dan telinga, namun 'kufur nikmat'.
Lalu di pengakhir ayat Firman Allah yang mulia itu, Allah mengatakan depa ini bagaikan binatang ternakan. Secara terus, perumpamaan binatang ternakan diberikan kepada mereka.
ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ
Tidak habis di situ, mereka ini sebenarnya LEBIH TERUK DARIPADA BINATANG ITU!
بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Kerana apa..!?
Ayuh lihat binatang ternakan sekeliling kita, cuba perhatikan dengan kaca mata intelek. Bukankah binatang itu makhluk Allah seperti kita manusia namun yang membezakan mereka dengan kita ialah binatang itu tiada hati dan iman yang sedar.
Walaupun binatang itu tiada hati dan iman yang sedar macam kita, tetapi mereka taati dan hormati Allah sebagai Tuhan.
Kita ini bagaimana?
Allah bagi hadiah yang banyak kepada kita. Berjuta-juta nikmat yang Allah kurniakan namun hadiah paling agung ialah kita ada hati dan iman yang sedar.
Itulah yang membuatkan kita lebih MULIA daripada binatang, tetapi yang membuat kita lebih HINA dari depa ialah apabila kita tak guna hati dan iman yang sedar itu untuk taat Allah; sebaliknya kita guna hadiah nikmat dari Allah itu untuk KHIANAT DAN BERMAKSIAT kepada Allah.
Lihat, betapa biadapnya manusia.
Allah bagi nikmat lalu dibalasnya khianat dan maksiat.
Na'uzubillah! Na'uzubillah! Na'uzubillah!
Atas sebab itulah kita lebih hina daripada binatang ternakan. Kerana apa? Kerana menangkan EGO! EGO dengan Tuhan yang telah menciptakan kita dengan cinta, astaghfirullah...
Beristighfarlah.
Beristighfarlah sahabatku!
Namun begitu, dengarkanlah kata-kataku ini...
Sahabatku,
Allah tak pernah zalim kepada kita.

وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
(Ali-Imran:182)
"dan bahawasanya Allah sekali-kali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya."
Janganlah kita fikir bahawa Allah sengaja cipta kita supaya kita masuk Neraka. Wallahi, tidak!
Di saat kita ingin menuduh Allah bahawa Dia sengaja mencipta kita supaya kita terbakar terseksa dalam api neraka, ingatlah bahawa Allah telah mencipta kita pada awalnya kerana keagungan cinta-Nya kepada para hamba-Nya.
Mana mungkin Sang Pencinta sengaja menyakiti kecintaannya bukan?
Namun kenapa ada manusia dalam Neraka?
Kenapa tidak semua dalam Syurga sahaja?

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ
(Ali-Imran:182)
Ayat ini ayat yang sama seperti di atas, namun ini lebih penuh dan inilah yang ingin saya tunjukkan kepada kalian semua...
Maksud ayat ini:
"(Azab) yang demikian itu adalah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri..."
Iya, azab seksa Neraka itu disebabkan oleh perbuatan dan pilihan kita sendiri.
Ramainya manusia dalam neraka itu ialah kerana mereka sendiri yang pilih untuk masuk Neraka. Bukannya kerana Allah memang mahu mereka masuk. Bukan!
Bakpe adanya mereka dalam Neraka?
Kerana mereka EGO!
لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ 
Allah dah bagi hati.
Tapi tak nak guna untuk 'fikir'
Asyik nak fikir tentang keduniaan yang sifatnya sementara, selalu abaikan akhirat yang sudah pasti kekal selama-lamanya. Hati sepatutnya diguna untuk mendekatkan diri kepada Ilahi. Sebaliknya guna hati untuk perkara duniawi dan pada masa yang sama menangkan EGO.
Allah dah bagi mata.
Tapi tak guna untuk 'lihat'
Asyik nak lihat dosa dan maksiat dan selalu berpaling dari Allah punya syariat. Mata untuk menjadikan diri kita dan Tuhan makin dekat. Sebaliknya untuk lihat diri hebat, dan abaikan nikmat Tuhan lalu akhirnya bertuhankan EGO!
Allah dah bagi telinga.
Tapi tak guna untuk 'dengar'
Asyik nak dengar apa yang hawa nafsu kata dalam jiwa, lalu sengaja menutup telinga dari ikut dan patuh kepada Firman-Nya dan sunnah baginda. Telinga sepatutnya menjadikan hidup semakin tentang dengan zikruAllah. Sebaliknya kita guna untuk menjulang EGO setinggi-tingginya..
Adanya manusia dalam Neraka kerana kaki mereka sendiri pilih untuk jalan itu, bukannya kerana Allah sengaja ingin ramai manusia berada dalam neraka. Jangan salahkan Allah kerana kaki anda sendiri yang melangkah dengan kehendak diri anda di atas jalan-jalan yang menuju Neraka.
Ingat kata-kata saya ini;
You get what you give.
You give good deeds, you get Jannah. Alhamdulillah.
You give bad deeds, you get Jahannam. Na'uzubillah.
Sahabatku,
Ini kata-kata cinta terkahir dariku buat kamu...
Ingatlah tiga perkara ini sentiasa:
Allah cinta kita.
Allah sayang kita.
Allah sentiasa rindu kita. 
Sebanyak mana pun dosa kita, ingat; Allah cinta kita.
Selama mana pun ego kita telah menang, ingat; Allah sayang kita.
Seteruk mana pun diri kita yang dulu, ingat; Allah rindu kita.
Di saat kita rasa ingin melampaui batas terhadap diri kita, di saat kita buat terlalu banyak jahiliah dan maksiat, di saat kita rasa kita terlalu ketagih dengan dosa...
Janganlah berputus asa kepada Sang Pengampun!
Jangan berpaling daripada rahmat dan cinta Allah!
Kerana Allah akan ampunkan segala jahiliah, maksiat dan dosa kita itu. Kerana Allah jua Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani...
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
(Az-Zumar:53)
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Ya benar, Allah akan ampunkan segala dosa kita dan yakinlah kita bahawa Allah akan kurniakan kita Syurga andai kita istiqamah dalam taubat Nasuha.
Jika kita ada jahiliah yang teruk, jangan pernah lupa kita ada Allah yang Maha Pengampun dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba itu ada seteruk-teruk jahiliah. Maka, chill dan relax, kembalilah kepada Allah dengan taubat Nasuha.
Buktikan cinta kita kepada Allah azza wa jalla dengan sentiasa bertaubat nasuha.
Ayuh kita sentiasa lazimi taubat nasuha agar Allah mencintai kita lalu kurnia kepada kita semua Syurga-Nya yang mulia. Amin!
Semoga Allah dan Nabi redha akan kita ya,
Dengan izin-Nya, kita akan dikurnia Syurga.
Seorang Hamba,
Aiman Banna.
p/s: Kongsikan artikel ini sejauh-jauhnya. Mungkin ada sahabat atau keluarga anda yang berputus asa daripada rahmat Allah dan dia perlukan sedikit kekuatan untuk bangkit menuju Tuhan. Semoga nukilan Aiman Banna ini bermanfaat 

No comments:

Post a Comment

Haa komenlah ! Tak nak komen satu, komen dua pun boleh ☺️